Thursday, August 27, 2009

Pertandingan Jawi Nusantara martabatkan tulisan jawi

Akhbar Utusan Melayu Mingguan dengan kerjasama Institut Skill-Tech, sebuah Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) bumiputera, meneruskan usaha memartabatkan tulisan jawi dengan menganjurkan Pertandingan Seni Jawi Nusantara.

Pertandingan yang dibuka untuk pelajar sekolah menengah seluruh negara itu menawarkan, hadiah wang tunai RM2,000 untuk juara, naib juara RM1,500, tempat ketiga RM1,000 dan 50 hadiah saguhati (RM50 setiap satu).

Antara lain, pertandingan itu bertujuan menggalakkan generasi muda menggunakan tulisan jawi dan menganggapnya salah satu cabang seni bagi memastikan ia terus kekal serta tidak pupus ditelan zaman.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cochrane Perkasa, Siti Zainah Che Omar menyokong pertandingan tersebut kerana dapat membangkitkan kesedaran dan minat di kalangan generasi muda supaya memartabatkan tulisan jawi.

''Usaha sebegini dapat memberi galakan kepada pelajar mempelajari seni warisan budaya yang semakin terhakis ini," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan borang pertandingan itu di sekolah tersebut, di sini hari ini.

Turut hadir Eksekutif Kanan Pendidikan dan Promosi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Rahmah Sulaiman.

Siti Zainah berkata, pertandingan itu merupakan langkah terbaik bagi mengekalkan seni warisan budaya yang semakin kurang diminati.

Sementara itu, Rahmah memberitahu, pertandingan tersebut dibuka kepada semua pelajar tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, peserta hanya perlu menulis semula peribahasa Melayu dengan tulisan jawi, kemudian dihiaskan dengan dekorasi seni pilihan sendiri seperti warna air, kolaj, teknik berus Cina, kaligrafi dan sebagainya mengikut kreativiti peserta.

Sebelum itu, ujarnya, mereka perlu memilih sekurang-kurangnya tiga daripada 12 peribahasa yang ditetapkan oleh penganjur.

''Selain menawarkan hadiah lumayan kepada pemenang individu, penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 kepada sekolah yang paling banyak menghantar penyertaan,'' jelasnya.

Tambahnya, tarikh tutup penyertaan adalah pada 30 September, manakala borang penyertaan boleh didapati melalui akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo!, Kosmo! Ahad, Utusan Melayu Mingguan dan laman web www.utusan.com.my.

0 comments: